Travel

Pengalaman Pertama Menaiki Kereta Lembu

Kereta Lembu? Pernah tak korang dengar atau naik kereta lembu? Jarang dah di zaman yang moden ini kita nampak lembu di kota melainkan pada Hari Raya Korban dan di kawasan kampung.

Kita biasa dengar kereta kuda dan mungkin juga ada diantara korang yang pernah naik kereta lembu ini di Negeri Melaka. Agak jakun juga mula-mula sampai di Kampung Balik Bukit, Ayer Molek Melaka bila ternampak kereta lembu ni ketika mengikuti siri Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia Negeri Melaka anjuran Majalah Gaya Travel dan Tourism Negeri Melaka baru-baru ini.

Untuk pengetahuan korang, ini merupakan pengalaman pertama Acul naik dan ditambah pula diarak mengelilingi kawasan kampung bersama-sama rakan media lain. Satu pengalaman yang jarang sekali Acul dapat lebih-lebih lagi di kota.

Pembuatan Kereta Lembu

pembuatan kereta lembu di melaka

Kereta Lembu mula diperkenalkan sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 oleh saudagar-saudagar India yang datang berdagang di Negeri Melaka dan merupakan pengangkutan utama pada waktu tersebut. Bentuk kereta lembu Melaka menyerupai “Wagon” di Amerika pada zaman dahulu yang ditarik oleh kuda.

Kini Kereta Lembu telah menjadi tarikan di negeri Melaka khususnya selain beca berwarna warni yang membawa pelancong menjamu mata dengan keindahan senibina di kota Melaka pada waktu malam.

Menaiki kereta lembu adalah satu aktiviti yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh pengunjung yang datang ke Negeri Melaka kerana ia dapat memberikan satu kepuasan yang amat berbeza.

penghasilan kereta lembu

Di Negeri Melaka terdapat 2 pengusaha pembuatan kereta lembu iaitu Pak Dol dan Pak Sulaiman. Ia merupakan warisan pengangkutan tradisional yang menjadi lambang kemegahan Negeri Melaka dan ianya merupakan kenderaan dua roda yang ditarik oleh lembu. Ia merupakan pengangkutan yang digunakan sejak masa silam lagi dikebanyakkan tempat di dunia.

Lembu yang digunakan pula adalah berbeza daripada lembu yang digunakan untuk korban kerana lembu ini adalah lembu Baka Brahman yang berasal dari negara India. Untuk perbezaan korang boleh lihat di atas badannya yang mempunyai bongol dan tubuh badan lembu Baka Brahman ini pula sangat besar.

Pengangkutan ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, roda, gandar dan kajang. Rangka kereta dipasang pada lembu penarik dengan menggunakan rantai khas yang di ikat pada kayu gandar digunakan bagi seekor atau dua lembu. Pemandu dan pengiring barangan akan duduk di hadapan, dan beban dimuatkan di belakang. Secara tradisi barangan di bawa merupakan hasil pertanian dan balak.

Tempoh untuk menyiapkan pula mengambil masa lebih kurang sebulan untuk disiapkan jika menggunakan alatan tukang yang moden seperti mesin larik dan potong. Manakala sekiranya dibuat secara tradisional, masa untuk disiapkan adalah lebih lama iaitu kira-kira 3 bulan. Kos pembinaan pula boleh mencecah sehingga RM 8,000 kerana kualiti kayu yang digunakan untuk tiap bahagian rekaan kereta lembu berlainan jenis.

naik kereta lembu di melaka

Selepas melihat cara pembuatan di kedua-dua lokasi pembuatan kereta lembu Pak Dol dan pak Sulaiman, kami diarak pusing sekeliling kampung dan diberi peluang untuk melihat suasana tenang dan permai Kampung Balik Bukit ini yang mempunyai pelbagai lapisan umur. Sudah tentu kelihatan anak-anak kecil bermain-main dengan lembu dan tidak kurang juga yang mandi sungai.

Cemas Dan Takut Naik Kereta Lembu

Pada mulanya agak cemas dan takut. Takut-takut juga lembu naik minyak dan pelbagai lagi tanggapan negatif yang bermain di minda. Tetapi selepas gagahkan diri untuk naik juga baru hilang perasaan cemas dan takut tu dan diganti pula dengan perasaan seronok.

Acul dimaklumkan lembu ini telah dilatih sejak dari kecil lagi. Agak teruja melihat lembu yang jinak ini dan yang paling mengujakan sewaktu berhenti untuk tempoh masa yang lama lembu ini tidak bergerak walau selangkah pun dari tempat asalnya.

Pengalaman Yang Berharga

Ini merupakan pengalaman yang amat berharga buat diri Acul kerana bukan mudah untuk Acul cari peluang untuk merasai pengalaman naik kereta lembu dan apatah lagi melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan.

Jika anda berminat untuk mencuba naik kereta lembu ini dan melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan, anda boleh datang ke Kampung Balik Bukit, Melaka. Disini juga terdapat homestay yang boleh anda menginap dan harga untuk homestay disini juga amat berpatutan. Selain daripada kereta lembu, terdapat pelbagai juga aktiviti kampung yang anda boleh lakukan disini. Sesuai untuk anda jadikan sebagai pengalaman bersama keluarga untuk merasai bagaimana hidup di kampung.

Mengenai Penulis

Mula menulis blog sejak dari tahun 2015 sehingga kini, Mohd Rasul merupakan front end web designer dan blogger sepenuh masa yang berasal dari Shah Alam, Selangor. Sehingga kini saya telah menghasilkan pelbagai jenis laman web untuk pelanggan-pelanggan saya dan mempunyai lebih 5 tahun pengalaman didalam bidang ini. Anda boleh lihat Portfolio saya jika anda berminat untuk mengetaui lebih lanjut mengenai perkhidmatan saya.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

CommentLuv badge

 

Lagi Artikel Menarik